Search This Blog

31 December 2012

Kembali Mengayuh Roda.

Kalau kau orang perasan, aku sudah buang beratus entri lama aku dan tinggal beberapa sahaja entri di dalam blog ini. Ya, selalunya orang akan melakukan seperti ini selepas mereka putus cinta. Kononnya untuk melupakan kisah lama. Itu selalunya. Tapi orang macam aku, maksud aku, spesis yang suka menulis hal-hal apa yang berlaku, kami lebih suka menyimpan. Sekurang-kurangnya aku boleh baca di masa hadapan. Tentang kebodohan dan hal-hal yang berkenaan.

Tidak hari ini.

Aku mengambil keputusan untuk buang segala kisah-kisah lampau aku yang ada dalam blog ini. Sudah aku semat semua dalam otak untuk aku hadam untuk masa hadapan. Pada awalnya, aku nak biarkan cerpen-cerpen yang aku tulis dan buang semua kisah anak muda aku. Kisah sedih yang kalau dibaca, boleh dipijak-pijak perut kerana terlampau menagih simpati. Namun, agak susah aku nak pilih mana yang aku mahu simpan, dan yang mana aku mahu buang. Jadi aku buangkan semuanya. Termasuklah beberapa entri yang punya hit yang tinggi yang membawa kamu semua ke sini.

Maaf.

Jadi kau orang boleh mula bertanya. Mengapa? Kenapa? Jawapan aku mudah. Mungkin semua entri tersebut punya nilai yang tinggi. Tapi tak sama nilai dengan apa yang akan diberikan kepada bakal isteri aku kelak. Bagaimana dia mampu baca semua kisah cinta dan betapa aku menjadi terlalu bodoh kerana setia pada cinta yang tak pasti? Teorinya mudah. Dia akan sakit. Walaupun dia senyum membaca semuanya, dia tetap akan sakit kalau dia betul-betul memberikan perasaan kepada aku.

Tak. Tak adil untuknya.

Jadi, tak perlu lagi aku simpan semua kisah yang menyedihkan itu. Cukup. Cukup sampai sini sahaja. Sudah sampai masa aku menulis kisah baru. Menulis kisah akan datang bersamanya. Menulis kisah yang indah-indah yang mampu buat ramai orang cemburu akan kisah kami. Dan menjadikan kisah-kisah kami pedoman. InsyaAllah. Betapa dunia ini terlampau pendek untuk menjadi seorang yang menyedihkan.

Aku mula putarkan roda semula.

23 December 2012

Janji Pasti.

Betul orang kata. Janji Tuhan itu pasti. Dia datang macam tu sahaja. Dia dah susun semua. Jalan aku dah nampak. Meroyan tak perlu lagi. Aku sehingga tak perlu cari. Dia datang dengan sendiri. Tak perlu nak mengejar. Dia datang sendiri.

Semua orang ada. Itu janji Tuhan. Cumanya, masa sahaja membezakan kita.


02 December 2012

Seleksi 3M - Mual, Muntah dan Mengidam.

Pertama kali aku uruskan orang nak masuk wad. Ya, aku uruskan semua. Ceritanya panjang. Kalau nak diukur dengan batang rokok, aku rasa satu kotak belum cukup untuk aku ceritakan semuanya. Jadi aku pendekkan semua kisah itu sehingga saat kami duduk di kerusi menunggu di hadapan kaunter pendaftaran.

Ah, aku rasa tak perlu juga nak ceritakan kisah tu. Pedulikan. Aku tulis poin-poin penting. Dia, NR (bukan nama sebenar, perempuan, sudah berpunya, 20an), sudah hampir seminggu mual-mual. Tengah hari tadi dia menghubungi rakan dia paling awesome (aku), untuk ajak makan bersama. Sudah lah mual-mual, muntah-muntah, dia punya rasa mengidam pula.

Nasi Goreng Ayam Buttermilk.

Sudah aku bawa dia ke satu tempat, dia pesan makanan yang dia idam. Kerana aku pun tak pernah makan makanan idaman dia tu, aku juga pesan benda sama.Waktu bergerak pantas. Saat aku bangun hendak pergi bayar di kaunter, air aku tinggal separuh dan aku gagal untuk menghabiskannya, airnya kering dan berbaki ais-ais, nasi goreng ayam buttermilk aku licin dijilat sudu dan nasi goreng ayam buttermilknya masih berbaki 60%. Dia gagal habiskan kerana kembali rasa mual-mual.

Kalau ikut teori sains matematik, siapa makan lagi banyak ya?

Aku dah mula syak bukan-bukan. Aku harap syak wasangka aku tidak tepat. Mual-mual dan ada wishlist makanan. Ahhh, tak mungkin! Lalu aku bawa dia ke satu hospital swasta setelah dia dengan bangganya menunjuk kad medikalnya. Dia di tempat duduk sebelah di dalam kereta 'Bumblebee' aku, dia bermuka selemah-lemahnya sambil terus berwhatsapp dengan teman lelakinya.

Aku? Ditemani lagu Umpama Mimpi Dalam Mimpi dari Damasutra dan bunyi-bunyi hujan.

Aku sebenarnya bukan nak cerita apa. Hospital. Aku suka hospital. Selain dari cik-cik misi yang cantik-cantik, aku juga suka hospital kerana suasananya. Tenang. Bunyian kanak-kanak menangis. Bunyian kanak-kanak ketawa. Melihat atuk-atuk bertongkat. Ahh, ini semua mengingatkan aku betapa hidup ini sangat pendek. Terus aku teringat video semasa majlis konvokasi aku tempoh hari. Puisi dari seorang bapa kepada anaknya. Aku suka satu baris ini,

"Satu hari nanti, aku akan lupa. Jadi kau ingat-ingatkan lah."

Kerana NR sedang dirawat di bilik kecemasan, akulah menjadi orang sibuk ke sana ke mari menguruskan hal insuransnya. Selagi tidak lulus, macam mana dia nak masuk wad yang harganya, ah, kau orang sendiri boleh nilai harga wad hospital swasta. Aku yang tandatangan surat hospital. Aku yang uruskan bilik wad. Aku yang dahulukan wang deposit. Sehingga kesibukan aku ini membuatkan staf hospital itu tanya,

"Encik ini suami dia ke?" Ini bukan pertama kalinya aku disoal hal begitu. Mungkin muka aku ini muka lelaki yang boleh dipercayai menjadi suami? (sila ambil borang di kaunter H)

Aku uruskan NR sehingga saat teman lelakinya tiba. Kerana ingin beri masa mereka berdua, aku terus buat-buat lapar dan berlalu keluar dari wad NR. Turun ke bawah menuju keluar dari hospital dan menuju ke medan selera berdekatan. Aku pesan segelas air epal dan semangkuk kentang goreng. Jumlahnya RM4. Aku beri mereka masa sebelum aku kembali ke hospital kerana NR mengirim dua kotak air milo.

Moral cerita ini? Entah. Tiada moral sebenarnya. Hanya seperti diari harian yang ditulis dan dikunci sebelum diletak di bawah bantal. Cumanya, kata-kata NR yang paling aku ingat ialah,

"Aku yakin kau boleh handle isteri kau dengan baik nanti pit."

Aku kembang segala lubang untuk 5 saat.

14 November 2012

Kaunter H.

Aku, aku tak yakin ada orang yang boleh fit dengan kehidupan aku. Maksudnya, kalau aku nak ada makwe, boleh ke dia tahan dengan semua ni;

Kerja - 8 Jam sehari + 80 minit pergi dan balik dari rumah, hari biasa

Muzik - perlukan sekurang-kurangnya sejam sehari untuk praktis dan 2,3 jam seminggu untuk praktis bersama ahli kumpulan.

Bola sepak - sebulan paling tidak aku akan sekali di stadium. Ni Piala AFF Suzuki dah dekat ni, faham-faham lah.

Menulis - setiap hari masa lapang

Mana ada masa aku nak beri untuk makwe? Oh nasib baiklah aku tak ada satu. Kalau tak mesti hari-hari kecik hati dengan aku. Orang yang support aku dan boleh fit dengan kegilaan aku yang empat ni, boleh ambil borang di kaunter H. Kaunter HATI. Gitttteeeewwwwww~ HAHAHAHAHA!

12 November 2012

Janji Dia.

Jadi seseorang tanya aku,

"Sepupu-sepupu kau sudah mengorak langkah. Kau, apa pun tak ada?"

Lantas aku jawab,

"It's a serious thing that i should have a serious plan for a better serious future. I'm serious. Secara seriusnya masih belum ada yang benar-benar serasi lantas layak. Kalau beri aku berbillion umat manusia untuk aku pilih secara rambang waktu ini, hanya seorang yang benar-benar serasi. Dan dia tak pernah dan akan tahu waktu itu aku akan pilih dia. Jadi waktu ini, terus hidup, dan percaya akan janji Dia. Atas sana."

16 October 2012

Kisah Merapu 59: Merapu Merapu Merapu.

Assalamualaikum!

Fuhhh. Dah lama gila aku tak menulis dekat sini. Siapa rindu nak baca sila angkat tangan? *krik krik krik* Siapa rindu nak baca aku menulis cintan-cintan angkat tangan? *krik krik krik* Siapa rindu nak komen sini lepas baca entri merapu angkat tangan? *krik krik krik* Siapa rindu nak baca pasal benda yang aku lalui dan share untuk ambil iktibar? *krik krik krik*

Macam haram! Kahkahkahkah.

*krik krik krik*

*krik krik krik*

*krik krik krik*

*krik krik krik*

*krik krik krik*

Aku agak busy sejak dua menjak ni. Sejak hari-hari pakai tie, kemeja, kasut kulit, bangun awal pagi, naik motor, duduk atas kerusi dan pukul 5:30pm chow balik rumah dengan perjalanan 40 minit atas motor, ya, aku nak buat konklusi hidup aku yang tipikal ni amat busy. Banyak benda aku dapat dan nak share. Banyak sangat. Tapi sebab kepenatan, sampai rumah lepas isyak tarik bantal, aku tak punya peluang. Kecuali harini, Alhamdulillah Tuhan kasi aku chance nak menulis sikit.

Walaupun aku tak tahu nak menulis apa.

Let see, topik apa aku nak bukak harini. Macam ni lah. Aku kasi bukak topik peribadi aku. Setelah lama aku tak sembang pasal hal peribadi aku kan. Ni blog aku, suka hati lah ye dak? Sila angguk. Aku ambil satu soalan dari seorang kawan aku. Soalan ni aku rasa dia tuju ke aku beberapa bulan lepas. Soalannya seperti berikut.

--------------------------------------------------------

Apit. Kenapa semua perempuan yang kau tertarik semua jenis yang tak berapa nak ayu, lembut, rock-rock, jenis suka pakai converse, jenis independence, dan jenis tak mendayu jiwang karatnya? Dan akhirnya mereka selepas suai kenal dengan kau, mereka mampu mengubah hidup mereka kepada lebih feminin. Adakah kau ini seorang lelaki mahaguru feminin? (Jawapan mesti melebihi 15 patah perkataan)

(100 markah)

--------------------------------------------------------

Soalan ni aku dapat dari 2, 3 orang jugak. Hurm. Sebenarnya aku tak punya jawapan untuk soalan ini. Jadi adakah aku boleh dapat 100 markah itu?

Choi!

Entahlah. Aku sendiri sebenarnya tak kenal dengan hati aku ni. Aku punya beberapa bekas kekasih. Cinta monyet ada, cinta ikan paus ada, cinta sebiji epal hijau ada. Tu belum kira yang aku crush tu. Tapi yang crush tu boleh letak tepi sebab aku bukan pergi depan dia sambil cakap,

"hai saya suka awak, jom kapel?"

Itu gila. Haha. Aku dengar perkataan kapel sekarang pun naik geli. Adakah ini bermakna aku lebih matang sekarang? Ya, aku rasa jawapannya ya. Sila angguk. Esok lusa aku cerita pulak kenapa aku geli (kalau rajin). 

Balik kepada soalan tadi. Hurm. Mengikut statistik hati aku pada tahun 2012, aku syak lah kan, aku tak tahu lah Tuhan nak test aku dengan orang-orang ini, aku ni seorang yang jenis pemalu. Ya pemalu sebenarnya. Lain cerita, aku ni jenis yang hatinya agak lembut, tapi cepat amarah. Sifat amarah aku ni dahulu lah. Aku improve ketika bercinta ikan paus. Kira okay lah. Aku bercinta ikan paus, aku dapat improve kawal sifat amarah aku.

Bukan sebab aku jenis yang jiwang, hati aku ni mudah terarah kepada orang yang just happy go lucky. Seorang yang tak berapa nak jiwang. Seorang yang kasar tapi dalam hati ada taman (macam Scha Alyahya), seorang yang boleh hidup sendiri yang sangat independence (macam Scha Alyahya), tapi bukannya aku tak reti nak berdikari ya? Dalam pelbagai perbezaan ini aku juga perlu ada persamaan. Mungkin aku lebih terarah kepada golongan-golongan yang boleh aku share minat muzik aku. Yang sanggup dengar semua masterpiece aku buat. Mungkin. Aku cakap mungkin sebab aku tak tahu. Haha. Dah jenis-jenis itu yang aku jumpa.

Yang powernya, yang aku crush dan tak berani nak approach ni pulak, semua jenis hot setaf cun-cun gittew. Sebab aku ni jenis kaki tak reti nak approach gadis macam tu, dan aku takut diorang ni jenis-jenis tak boleh terima hidup aku yang macam ni (tunjuk diri sendiri), sebab tu aku biar diorang jadi crush je. Sebab lain, aku selalu rasa diorang yang jenis macam tu, boleh dapat someone better yang sama hot setaf.

Yeww tipikalnya ayat.

Macam ni lah. Bercinta ke, kahwin ke, tunang ke, segala jenis relationship ni dia macam lego. Lego seketul memang lah macam apa lagi. Tak boleh nak buat apa. Nampak petak buruk nak mati. Tapi bila dicantumkan, mak ai. Boleh jadi Legoland. Ada roller coaster. Nampak dak apa aku cuba sampaikan?

*krik krik krik*

Lego sebiji tak sempurna. macam tu lah kita. Kita ni tak sempurna. Ada sahaja kekosongan. Segala kekosongan tu lah yang akan diisi oleh pasangan. Kita tak lama pun dengan dia. Paling kuat 50 tahun je hidup dengan dia. Tak lah lama mana. Dalam 50 tahun tu lah dia nak bantu kita atas segala kekosongan yang ada. Allah kasi chance kita ada assistant sebelum menuju kehidupan abadi. Tak mustahil kenapa Tuhan banyak dekatkan aku dengan orang yang sebegitu, sebab sebenarnya aku ni lembut hatinya. Mudah cair. Jiwang tahap Blues Untuk Aku. Dia bagi aku orang yang boleh fit up lego aku ni.

Dalam masa yang sama, mungkin juga Tuhan kasi hati aku ni dekat dengan orang yang ada sedikit sama minat dengan aku. Ya lah. lego pun, nak cantum kena sama jenama. Lain jenama mana boleh masuk ye dak? 

Sekarang? Orang tanya aku kenapa aku ni masih sendiri selepas bertahun aku putus. Choosy? Pertamanya, sebab macam aku cakap tadi, aku dengar perkataan kapel pun dah naik geli. Walaupun reason ni haram tak valid, lantak lah aku nak cakap juga. Ikut suka aku laa nak geli ke tidak, ye dak? Sila angguk. Kedua, hati ni. Aku tak rasa langsung hati ni takat ni bertindak balas secara kimia yang boleh buat aku berdegup tiap hari kalau ingat dia. Belum ada. Malas aku nak main serkap jarang. Walaupun dalam diam ada aku minat sorang dua, tapi buat apa minat kalau tak punya rasa dup dup tu? Apa ingat bercinta ni macam main guli? (Persamaan yang langsung tak ada kena mengena).

Atau aku masih belum move on walaupun dah bertahun-tahun? Jeng jeng jeng jeng! Tuhan saja yang tahu. *Pandang atas ke langit dan senyum*

Akhir kata, aku harap aku dapat 100 markah tu. Sedikit quote dari twitter aku lepas penat menulis,

"All of my exes are awesome. Its make me the one that unawesome, that is why we broke up."

Maksudnya, setiap perpisahan tu, aku tak awesome dan banyak yang perlu aku belajar untuk masa akan datang. Aku buat post morterm dan listkan apa aku belajar dari satu kegagalan sesuatu hubungan. Aku syak, korang juga kena buat post morterm macam aku agar kau tak rasa kapel dengan seseorang tu sia-sia macam sekepal nasi. Walaupun tak banyak kebaikan atleast ada lah kan?

Akhir kata nombot 2, aku harap korang terus suruh kawan-kawan korang baca blog ni dan tekan follow. Jangan lupa tekan nuffnang dekat penjuru bawah kiri blog. Bukan blog aku lah tapi. Babaii!

30 September 2012

Iman Bukan Binari, Iman Adalah Degree.


Iman bukan angka binari. Angka yang boleh kau tukar 1 kepada 0 dan 0 kepada satu pada dua jangka masa berbeza. Harini kau ada kepercayaan. Esok kau hilang semuanya. Iman bukan seperti itu. Jika iman adalah binari, adakah iman kamu 11110010100111? Atau 111111111111110? Iman bukan angka binari. Iman bukan binari.

Iman ialah seperti angka degree. Harini 50 darjah iman. Esok 51 darjah. Pergi ke ceramah naik 340 darjah. Mana tahu hilang sedikit iman kerana marahkan Tuhan doa tak dimakbulkan, terus ditolak iman kepada 20 darjah sahaja.

Kerana aku yakin, pada setiap-setiap kita, kita masih ada IMAN walau secebis kuman, yang masih percaya. Sebangsat mana orang itu, aku yakin masih ada. Tidak mungkin iman itu 1010101100 tetapi lebih kepada  30 darjah, 55 darjah, 43 darjah. Kerana tak mungkin iman itu akan hilang terus.

Kita nampak orang itu jauh dari agama. Itu bukan sijil atau lesen kita untuk berkata dia tiada iman. Ia lebih kepada, dia mempunya kedarjahan iman yang rendah. Aku percaya, dia percaya Tuhan itu ada. Dia percaya Rasul itu wujud. Al-Quran itu mukjizat terbesar dan dia percaya Malaikat, kiamat dan qada qadar itu ada di sekitarnya. Cuma, dia jauh. Dia tidak buat. Kerana darjah imannya kecil.

Iman yang kecil tidak berdaya memahami apa itu konsep sebenar dalam hidup.

Bagi aku, apa yang seorang trainer aku pernah cakap kepada aku, hidup kita terbahagi kepada 3.

1. Rohani (Rukun Iman, Rukun Islam)
2. Dunia (Harta, aset, keluarga)
3. Fitrah (Virus)

Setiap dari tiga ini, saling berkait. Sambungannya ialah seperti ROHANI - FITRAH - DUNIA. Rohani dan dunia dipisahkan dengan fitrah. Longkang fitrah dengan lebih tepat. Setiap apa dari rohani, dia ada jambatan yang melintasi longkang fitrah itu. Terus melintasi virus-virus yang cuba menelan semua, dan tarik terus memutuskan apa yang terbina.

Apa yang perlu untuk mengekalkan jambatan itu, sangat mudah. Kita hanya perlu memenuhkan sistem generator di bahagian rohani. Dengan ikhlas demi Allah SWT. InsyaAllah, jambatan itu akan kekal dan dunia akan lebih mudah untuk kita akses. Apa yang ada di dunia, InsyaAllah akan berjaya. Apa sahaja kita buat.

Ingatlah. Kejayaan itu adalah sejenis uncountable. Mungkin kau tidak nampak apa yang Tuhan beri. Kerana ia uncountable. Cuma perhatilah. Ia ada. Dan bersyukur. Dan bersyukur.

Bayangkan kita hilang satu dari basic rohani, satu jambatan sudah runtuh. Tidak mengapa. Ada jambatan lain untuk kita akses ke seberang. Cuma kita akan rugi satu jambatan yang mungkin boleh membawa kita lebih dari apa kita dapat. Rezeki dunia yang lebih. Bayangkan satu lagi kita tinggalkan. Lalu, runtuh lagi satu. Runtuh dan runtuh akhirnya tiada jambatan. Dunia?

Setiap jambatan yang runtuh hanya akan membuat kau terperangkap di dalam kawasan dunia. Ya, kita akan dapat banyak wang. Isteri dan suami yang cantik dan kacak. Anak yang comel. Kereta yang besar. Tapi beringatlah. terperangkapnya kau di dalam kawasan dunia, kau juga akan dikejar oleh makhluk-makhluk dari dunia. Kau tidak akan pernah tenang. Kau cari wang untuk kau bayar wang. Kau cari wang untuk kau bayar hutang. Kau cari wang untuk kau bayar setiap sakit-sakit yang akan terima. Kau cari wang untuk orang lain. Kau cari wang, dan wang akan kejar kau semula.

Begitulah perumpamaannya.

Ya, kau percaya mencari harta dunia itu adalah Fardhu Kifayah. Apa beza Steve Job dan Donal Trump dengan kau? Kesemuanya mencari fardhu kifayah. Bezanya jambatan itu. Mereka tidak punya jambatan. Mereka terperangkap dalam dunia mereka. Mereka tidak akan pernah rasa cukup. Mereka tidak akan pernah rasa selamat. Mereka akan terus berlumba. Bukan untuk sesama manusia, tetapi berlumba dengan diri sendiri. Jadi apa beza kau dan mereka kalau sama-sama sudah tidak punya jambatan? Beza utamanya, kau percaya, kau tahu, cuma kau tak pernah berusaha mengubahnya. Kerana kau percaya, "Aku tidak berdoa juga aku mampu jadi kaya, aku mampu terus hidup." Kerana kau percaya, "Hidup ini lama lagi. Esok lusa masih ada untuk Dia."

Dia begitu sayangkan kau sehingga dia masih beri kau nafas untuk pulang semula.

Dalam konsep 3 kawasan ini, ia tidak pernah untuk terlambat. Selagi kau masih bernafas, kau mampu membina semula jambatan itu. Selagi kau bernafas juga kau mampu runtuhkan satu persatu jambatan itu. Binalah jambatan yang sudah runtuh. Untuk kembali ke kawasan rohani. Untuk lebih menghargai apa yang kau ada. Untuk lebih ikhlas dalam mencari redha Tuhan dan rezeki dunia.

Kerana ingatlah, cerita mengenai dunia, sudah tertulis di Luh Mahfuz. Cerita akhirat tiada siapa tahu. InsyaAllah, setiap kali jambatan penyambung itu kukuh, maka makin melimpah rezeki itu datang. Mungkin pada orang lain tak banyak. Tapi kerana kukuhnya jambatan itu, kukuhnya rasa menghargai rezeki, kukuhnya rasa bersyukur, kau akan rasa rezeki itu lebih dari cukup untuk kau dan keluarga.

Bagi aku, kekayaan itu bukan tingginya nilai wang yang kau ada, kekayaan pada aku ialah bebas. Bebas dari segi masa. Bebas dari segi hutang. Bebas dalam berkeluarga. Kerana aku yakin, sebaik-baik manusia ialah manusia yang kuat dalam mencari kejayaan di akhirat dan juga di dunia. Aku yakin sangat banyak jambatan aku sudah runtuh. Mari kita sama-sama bina ia kembali supaya terus berjaya!

Tuhan sudah putuskan kita untuk menjaga dunia. Oleh itu, manusia terhebat ialah manusia yang mampu balance kan kedua-duanya. Akhirat dan dunia. InsyaAllah kita.

Aku bukanlah ustaz. Aku hanya menyampaikan ilmu yang aku dapat. Semoga ilmu ini berpanjangan dan kita boleh dapat manafaat dari apa yang kita baca. Ayat tipikal yang power, yang baik itu datang dari Allah SWT, dan yang buruk itu dari aku sendiri sambil di bisik oleh syaitan celaka yang direjam. Konklusinya, tingkatkan degree iman dan kukuhkan terus jambatan sebelum di makan kuman virus.

26 September 2012

Kisah Penulis Dan Usahawan Muda.

Situasi 1

Aku dan seorang rakanku Amalina (bukan nama sebenar) atau lebih dikenali sebagai Amal Hamsan di kalangan rakan-rakan kami, keluar melepak di satu tempat setelah lama tak bertemu muka.

"Apit, aku rasa aku ni tak laku laa. Kau ada kawan nak introduce ke aku?" Amal mula meluahkan perasaan kepada aku. Konon-konon tak laku. Dia cuba nak trick aku padahal dia nak mengatakan aku tak laku. Sepatutnya lelaki seperti aku, muka comel, berisi sikit, memang jadi rebutan. Aku kacau-kacau air jus epal yang aku order tadi. 

"Aku ada seorang kawan. Usahawan. Shah nama dia. Kau nak kenal? Dia ada kereta siap." Tenang aku menjawab soalan Amal tadi.

"Ahh kira ON laa pit. Handsome kan? Shah mana ni? Kau betul serius? Aku excited ni. Usahawan ya? Bawa laa jumpa aku!"

"Nantila."

"Kawan kau ni duduk mana?"

"Orang Shah Alam je."

"Dia meniaga apa? Mana kau kenal?"

"Nama penuh dia Shahrul Naim. Dia usahawan. Orang panggil dia Al-Deus. Dia meniaga buku."

Amal lantas memaling muka dari muka aku.

Situasi 2

"Apit. Apit! Kau nak tahu tak? Aku ingat kalau ada jodoh dalam dua tiga tahun ke, setahun dua ke, aku nak kahwin lah." Amal membuka topik baru. Aku masih tenang memandu menuju ke Stesen Bas Pekeliling untuk hantar dia pulang ke Jengka menaiki bas.

"Oh bagus lah. Kau pun dah tua kan?"

"Woi aku mana tua!"

"Tua dari aku?"

"Setahun je pun."

"Still."

"Kau lahir bulan berapa?"

"Mei."

"Mana sampai setahun aku tua dari kau. Haha. Pit, kau nak kahwin bila? Dah jumpa calon, terus masuk meminang je tau. Bila nak kahwin?"

"5 tahun lagi?"

"Amboi lamanya! Kenapa lama sangat? Patut tak laku!"

"Sebab aku buat pinjaman ASB 5 tahun. Lagi 5 tahun baru boleh bawak keluar segerombolan duit tu. Kau ingat murah ke nak ambik anak orang jadi bini zaman sekarang? Atleast lagi 5 tahun aku dah punya puluhan ribu ringgit."

"Hahaha bongok pit!"

Aku terus memandu dengan sabar.

Situasi 3

Kalini aku memulakan konversasi dengan Amal. Suasana jadi tegang. Aku pasang lagu-lagu A Day To Remember di dalam kereta yang ternyata bukan menjadi taste Amal Hamsan yang kononnya deep ke Radiohead.

"Aku dah bawak kau jumpa Al deus dah tadi. Kenapa tak tegur?"

"haha bongok pit! Aku dah cuba. Dia tak nampak aku."

"Mungkin kau tak cukup menggoda Mal."

"Masih dia tak nampak aku."

"Tadi dia buka spek kot Mal?"

"Tak, dia pakai spek pun tak nampak aku. Mungkin dia kena pakai spek yang lebih tebal."

Kalini, aku yang malas layan lawak spek tebal Amal.

*****

nota kaki: Maaf ke atas perbualan bongok kami yang aku tulis balik ni. Tiada kaitan dengan sesiapa. Hanya kebodohan akal yang terlintas. Mengisi masa lapang.

24 September 2012

Semua Orang Berlumba Dapatkan Benda Yang Dah Dijanjikan Ada.


Rezeki. Buat macam mana pun, bilangan rezeki itu sudah tertulis di Luh Mahfuz. Memang Dia dah cakap. memang ada untuk semua orang. Reti bersyukur atau tidak sahaja bezanya. Tak bersyukur, sebab itu tak pernah rasa cukup dan sentiasa merungut.

seorang trainer pernah cakap pada aku, "Kalau kau kejar duit, duit akan kejar kau balik. Niat kena betul. InsyaAllah ada."

Tapi...

Syurga.

Neraka.

Tiada janji oleh Dia. Kau dapat syurga atau neraka. Dia belum tetapkan. Tapi kenapa tak semua orang kejar yang belum ada kepastian kiri atau kanan?

#RemindToMyself

08 September 2012

Persoalan dan Doa.

Aku baru sahaja tamatkan perbualan aku dengan seorang kawan. Kawan lama. Kawan maya. Hendak dijadikan cerita, kami menjadi rapat setelah aku menamatkan hubungan dengan kekasih lama. Kami berkongsi cerita. Rasa. Muzik. Ya, banyak benda kami kongsi. Aku ambil sikit. Dia ambil sikit. Hendak lebih tepat, dia menjadi seperti bantal yang diberi setelah lama aku tidur di atas lantai.

Tiada apa yang dapat aku ubah. Aku masih tidur. Bezanya, kini tidur aku lebih selesa.

Kami sembang tadi tidak lama. Dia semakin gembira dengan jurusan perundangannya di Melaka. Bakal menjadi seorang peguam. Dia gembira bila dapat tahu aku sudah mula bekerja. Ya. Serapat mana pun kami, kami masih belum pernah jumpa.

Itulah yang menjadi persoalan, bila?

Sebaik sahaja aku ingin menamatkan perbualan, dia mencelah ingin beritahu aku sesuatu. Tapi benda itu hanya dapat aku tahu setelah aku berjumpa dengannya. setelah memaksa dia beri tahu aku satu benda.

"I'm someone's now. He is a Singaporean."

Dan secara automatik aku membalas,

"Since when? Congratulations!"

Mereka saling kenal sejak April. Entah macam mana aku tak tahu dia sudah punya lelaki yang dia sayang. Mungkin aku belum menjadi seorang kawan yang baik. Mungkin. Jadi kami sembang tentang lelaki itu. Ia seperti semua perempuan yang aku rapat selepas aku terjatuh teruk setahun lebih lepas sudah mula menjadi seseorang. Mereka sudah punya seseorang. Mungkin aku punya magis untuk beri mereka satu hubungan bahagia atau aku yang masih katup ketat pintu rasa untuk menjadi seperti mereka.

Aku senyum. Masa berlalu pantas. Aku rasa baru minggu lepas aku seperti orang gila rapat dengan ramai orang agar aku tak sunyi. Aku tahu aku salah. Tak sepatutnya jadi begitu. Tetapi hey, mereka sudah punya sesuatu sekarang. Aku masih begini. Sendiri. Bezanya kini aku tak lagi mengharap ada orang agar dengar rintihan aku. Aku rasa cukup aku ada seorang kawan aku dan Maha Pencipta yang agung. Mereka mendengar. Azan pun mula mengalunkan suara. Satu dua saat kami hendak tamatkan perbualan kami dia hantar aku satu pesanan ringkas.

"But it is not that something that I want to tell you. Bila jumpa nanti I bagitahu. Selamat maghrib!"

Dia tinggalkan aku dengan satu persoalan.

*****

Minggu lepas seorang trainer aku ada mengajar aku suatu benda. Cara berdoa dengan lebih ikhlas. Ramai yang berdoa selepas solat, tapi seikhlas mana rasa doa itu, ahh biar dia dan Tuhan saja tahu. Caranya mudah. Dia amalkan cara ini sudah lama, dan dia seringkali mendapat jawapan dari setiap doanya. Jawapan tidak semestinya dari mimpi atau kita dapat sebijik di depan. Ia ada sekeliling.

Aku rasa sudah masa aku pula menyambung ilmu ini.

1. Dimulakan dengan Al-Fatihah. Rasionalnya? Walau apa pun kita hendak minta, Al-Fatihah seperti lambang kita berterima kasih padanya atas segala benda yang dia sudah beri.

2. Selawat 50 kali. Rasionalnya? Sekali kita berselawat ke atas nabi SAW, 10 kali Allah akan berselawat ke atas kita, kehebatan kita.

3. Berdoa. Berdoalah seikhlas mungkin. Di dalam bahasa melayu pun tidak apa. "Ya Allah, ya Tuhanku. Aku esok nak tengok kereta nak beli. Aku minta sangat padaMu ya Allah, tunjukkanlah aku kereta apa yang patut aku beli. Aku ni lemah sangat. Aku tak tahu mana yang sesuai dengan aku." berdoa santai. Seperti kita sedang minta dengan seseorang di hadapan kita. Rendah diri sehabis boleh kerena kita sebenarnya memang lemah.

4. Tamatkan dengan, "Terima kasih ya Allah? terima kasih atas semuanya. Syukur. Alhamdulillah." Kita berterima kasih kerana dia masih mendengan doa kita.

5. Amin.

Amalkan dan perhatikan jawapan dariNya. Kita ambil permintaan di atas. Mungkin sahaja dia akan beri kita dengan melihat banyak kereta myvi putih dan di rumah kita pun siap ada orang hantar pamplet myvi putih. Contohnya macam itu lah. Kerana, jawapanNya ada di mana-mana.

InsyaAllah. Alhamdulillah.

05 September 2012

Bijak Dalam Beremosi.

Orang yang berjaya tak semestinya punya IQ yang tinggi. Tetapi, mereka punya emotional intelligent yang excellent. Bijak mengawal perasaan. Tahu menggunakan perasaan tepat pada waktunya. Sebab itu orang yang tak lulus USPR juga mampu menjadi jutawan.

Itu ayat yang aku asyik ulang-ulang dalam kepala semasa perjalanan pulang dari tempat kerja semalam. Oh ya, itu adalah dari seorang trainer aku. Dalam kerja ini tiada istilah bodek untuk berjaya katanya. Apa yang pasti, kau bijak menggunakan perasaan pihak kedua untuk melihat hasil kerja bagus kau dan membawa kau ke satu tahap lagi. Betul juga katanya. Kalau kita buat sebagus mana pun, dan kita tunjuk hasil kerja kita bukan pada waktunya (baca: saat bos yang sedang pressure akibat gagal mendapat projek atau dia mendapat saman ketika perjalanan ke pejabat), dia tak pandang mana pun hasil kerja kau.

Semalam hari kedua aku masuk alam pekerjaan. Semuanya seperti okay. Masuk harini aku dah mula liat untuk bangun. Aku set jam pukul 5. Ada kerja sikit.Tapi, inilah manusia. Aku bangun bila azan sudah bergema. 

Sudah dua hari aku menempuh hujan bila pulang. Aku perlu gilap kembali skil 'merempit' dan 'mencilok' aku untuk sampai rumah lebih cepat dan selamat. Ah aku tak tahu lagi apa nak aku tulis. Aku nak kongsi banyak benda. Tapi kejap lagi dah cerah. Aku kena pergi kerja! Nanti aku ulas lagi panjang mengenai emosi dan kerjaya. ChalooO!

26 August 2012

Kisah Merapu 58: Lalai.

Orang kata, bukan aku kata, sampai masa kita akan sedar sesuatu. Sedar yang dunia ini sebenarnya berputar. Sedar yang hidup kita tak selalunya siang. Sedar yang ada tersusun ribuan kebaikan di atas puluhan keburukan. Sampai masa kita akan sedar yang kita sebenarnya sudah lari dari landasan. Sudah lari dari matlamat yang digariskan. Digariskan oleh diri sendiri, mengikat janji dengan diri sendiri untuk berjaya, tapi diri sendiri juga yang lalai dengan apa yang digenggam.

Tidak mengapa kadang kala lari sebentar dari jalan. Menjadi bodoh untuk masuk ke dalam semak samun untuk mencari adventure. Asalkan, asalkan kita pulang semula ke jalan dan terus bergerak menuju matlamat. 

Kita adalah seumpama pengembara di dalam hutan. Destinasi kita ialah sebuah kota indah. Tujuan ke sana untuk memikat hati puteri raja. Sedang asyik menuju ke kota, terdengar pula bunyi dari semak. Lalu kita lalai dan mencari, dari manakah bunyi itu datang. Nasib baik, kita jumpa seekor rusa. Boleh disembelih dagingnya dan makan. Kalau nasib tidak baik, bunyinya datang dari harimau. Terpaksa bertempur, berlari ke sana, ke sini sebelum mampu bebas. Orang bijak akan mengambil itu sebagai iktibar agar tidak mudah tergoda dengan bunyi dari semak. Ah! Sekurang-kurangnya dia belajar ilmu berlawan dengan harimau. Ha! Sudah dua ilmu dia peroleh hasil dari dia lalai.

Namun kalau dia terus lalai, terus menguji kononnya dia gagah mampu tumpaskan harimau, dan terus mencari harimau lain untuk dia tumpaskan, matlamat lari, tujuan tidak kesampaian, kota pun boleh hilang dari pemandangan. Apa yang kau dapat? Nasib tak selalu untung. Esok lusa akan dibaham juga. Selalu beringat-ingatlah.

Aku pun tak tahu apa aku tulis. Aku tak tahu apa aku fikir. Sudah lama aku manjakan diri sendiri, sudah lama aku manjakan orang lain. Apa pun tak dapat. Heh.

01 August 2012

YOLO.

Kita selalu salahkan takdir. Selalu salahkan Tuhan. Meninggalkan suruhannya kerana menunjuk tanda protes atas segala doa yang tak dimakbulkan. Kononnya Tuhan akan menyesal dan memakbulkan doa hamba-hamba yang protes ini padahal yang ruginya kita. Peduli apa, kau tinggal, kau dapat bencana kelak.

Kita seringkali tak tahu apa yang kita nak. Meninggalkan sesuatu yang pasti kerana mengharapkan sesuatu yang tak pasti. Ini semua lumrah. Bila esok-esok dah tahu jawapan, baru menyesal dengan perbuatan. Hey! Pernah nampak orang tulis YOLO? Bukan untuk kita jeritkan perkataan YOLO tu. You Only Live Once. Itu maksudnya.

"Some people think they're always right
Others are quiet and uptight
Others they seem so very nice, 
Inside they might feel sad and wrong."

You Only Live Once, The Strokes.

Buatlah sesuatu dengan bijak dengan hidup ni. Setiap perbuatan, setiap percakapan, mungkin ada yang terlanjur dan boleh diperbetulkan. Tapi bila dah main dengan retaknya jiwa orang lain, usah bercakap panjang, kau tahu, salah dengan Tuhan boleh bertaubat, salah dengan manusia, Tuhan pun tak boleh tolong, sayang.

Teringat aku dengan beberapa potong ayat dalam novel dari Tere-Liye, 'Rembulan Tenggelam di Wajahmu'. Sebuah novel tentang kehidupan seorang anak jalanan yang mencari erti hidup. Kesimpulan flashback hidupnya semasa umurnya 60 tahun, terlantar sakit, di bawa oleh seorang lelaki yang wajahnya amat senang sekali. Aku tertarik dengan beberapa potong ayat lelaki berwajah senang itu. Antaranya,

*****

"Masalahnya kau tidak seharusnya jahat Ray. Kau tidak seharusnya menjalani masa-masa gelap dengan alasan hidup ini tidak adil. Kau tidak seharusnya menyalahkan orang yang membuatkan kehidupanmu buruk, lantas mencari alasan-alasan."

"Kalau hidup ini adil, mengapa mereka dibiarkan Tuhan? Kau tahu apa samseng itu lakukan pada Ilham dan lukisannya? Natan? Tidak dapat lagi bermain muzik?"

"Kau tak boleh menyalahkan orang lain dalam urusan ini, apalagi menyalahkan Tuhan, Ray. Bahkan orang terpilih juga terkadang lalai mengenali bentuk keadilan itu kerana kita selalu berusaha mengenalinya dari sisi yang nampak di mata. 

"Di mata kasar kau tahu Ilham gagal mengikuti pameran besar itu. Kau salahkan samseng-samseng itu. Salahkan langit kerana membiarkan orang jahat itu. Kata siapa Ilham gagal? Tanpa merosakkan lukisan itu sekalipun, Ilham masih tidak layak mengikuti pameran itu. Kenapa? Kerana kalian terlampau melebih-lebih kebolehannya. Lukisan itu biasa-biasa sahaja. Kalau diserah kepada kurator pasti mereka tidak akan mempercayai bakat Ilham yang digembar-gemburkan oleh Bang Ape lagi. Selama sepuluh tahun selepas itu, dia belajar cara membuat lukisan lebih baik. Belajar merendah hati. Memutus untuk tidak menulis nama pada setiap lukisannya. Hasilnya, dia menjadi pelukis yang baik Ray! Adakah hidup ini tidak adil bagi Ilham?"

"Natan membenci ayahnya kerana tega meninggalkan mereka sekeluarga. Dia nekad untuk menjadi orang yang boleh mencairkan hati manusia yang keras. Kau tahu bagaimana? Menjadi penyanyi adalah salah satunya. Dia mendapat kesempatan lain Ray. Dia menjadi penggubah lagu terkenal! Ratusan lagunya mengajak manusia berbuat baik. Dengan lumpuh, kehilangan suara, itu justeru dia mendapat kekuatan luar biasa untuk menulis lagu. Adakah hidup ini tidak adil bagi Natan?"

"Kehidupan ini selalu adil. Keadilan langit mengambil berbagai-bagai bentuk. Meski tidak semua bentuk itu kita kenali tetapi adakah dengan tidak mengenalinya kita boleh berani-beraninya menuduh Tuhan itu tidak adil? Hidup tidak adil? Ah, urusan ini terlanjur sulit bagimu, kerana kau selalu keras kepala."

*****

Esok-esok minta maaf. Esok-esok dia mati. Esok-esok settle di mahsyar nanti. Buatlah sesuatu dengan menggunakan akal. Kurangkan guna emosi bila berkata, bila menulis. Kerana hidup ni sekali sahaja. Sama-sama lah kita beringat. Aku pun masih mengingat diri aku juga.

Salam Ramadhan, salam August Rush.


14 April 2012

When We Care Too Much, HARI IBU Pun Jadi Haram.

Aku baru balik dari rumah markas Prima U1. Sebuah markas aku dan kawan-kawan perantauan aku yang berhijrah ke bandar Shah Alam untuk mencari rezeki. Di sana tadi aku hanya nak lepaskan tekanan. Melepak. Gelak. Tonton rancangan televisyen bersama dan akhiri dengan bermain permainan video Playstation Fifa. Almaklumlah. Zaman kecil dulu kami main Pepsi Cola sahaja. Dah tua baru teringin nak main permainan 3D macam ni. Aku guna pasukan VFL Wolfsburg dan Valencia CF. Satu menang, satu kalah. Dalam hati aku kata, "Alah bola tu bulat. Ada kalah, ada menang."

Oleh kerana esok (baca: harini) aku ada kelas, aku paksa Kehek hantar aku balik malam ini juga. Dia berkeras sebenarnya tak mahu balik. Ya aku tahu dia penat. Tapi apa kan daya. Terpaksa. Sebab aku tumpang dia.

Siapa yang ikut laman sosial twitter aku, pasti ada perasan aku ada cerita serba sedikit tentang Kehek ni. Nama panggilan panjang dia, Kehek Meru. Seorang legendary to be di Meru, Klang. Sebab hari bekerja dia asyik membawa motor, malam minggu sahaja waktu dia untuk memandu kereta. Aku bagi peluang dia memandu ambil aku dari rumah pada awalnya.

Sampai rumah jam 3:12 pagi. Lampu dapur dah menyala. Langkah sahaja aku ke dapur, aku nampak mak sedang asyik menyusun karipap-karipap yang hendak digoreng. Untuk dijual pagi-pagi nanti di depan rumah. Bukan mak yang jual, dia cuma tumpang gerai Mak Cik Jun Nasi Lemak sahaja. "Awal mak bangun?" Aku cuba menjadi mesra. Konon nak ubah topik kerana aku balik lewat ke rumah. Mak diam. Tak balas apa-apa. Dia fokus menyusun karipap-karipap yang belum digoreng tu.

Aku buka peti sejuk. Tuang segelas air dan aku teguk cepat-cepat. Habis minum, aku letak gelas di atas meja tanpa basuh. Aku tak fikir apa, terus naik bilik. Kebiasaan agaknya, masuk bilik aku terus tekan butang 'ON' pada komputer riba yang sudah berusia hampir 6 tahun bersama aku tu. Aku pergi membuang apa yang patut di tandas dan bersiap dengan pakaian tidur.

Sebelum tidur aku selak-selak laman sosial dan email. Aku tak mahu terlepas berita-berita penting. Kononnya. Hampir semua selesai aku belek, aku mengambil keputusan untuk tidur. Kelas dalam beberapa jam lagi. Aku perlukan tidur yang cukup. Belum sempat aku halakan tetikus ke bahagian pangkah di laman sosial Facebook, aku tertarik dengan satu artikel yang dikongsi oleh seorang rakan aku.

"BEWARE! Hari Ibu ialah HARAM! Sebarkan."

Si Ibu Dan Anak Fine Art Print - Azlan Dulikab
Aku tekan artikel tu. Aku tak baca. Aku belek sekali lalu. Bla bla bla Presiden bla bla bla haram bla bla bla Mother Church bla bla bla Jesus bla bla bla. Bagi aku, bila terlampau sangat ambil kisah, semua benda pun tak boleh. Tak salah rasanya kita sambut Hari Ibu tu. Kerana ia adalah hanya Hari Ibu. Kita raikan seorang manusia yang dah lahirkan kita dan yang dah banyak berkorban untuk kita. Lainlah kalau nak bercakap mengenai Hari Kekasih atau seangkatan dengannya.

Ya, setiap hari ialah hari ibu. Ayat tipikal rakyat marhaen. Tapi tak salah juga pilih satu tarikh untuk raikannya dengan lebih spesifik? Tak perlu nak haramkan sangat. Nak susahkan fikiran. Tak puas hati tarikh tu, kita raikan tarikh pada tarikh esoknya. Lusanya? Bulan depannya mungkin? Sebenarnya tak salah pun rai pada tarikh yang sama. Sebab bagi aku, kita bukan rai persis kristian atau menyerupai (aku tak baca pun artikel tu) kaum dia. Ia hanya Hari Ibu. Salah ke bawak balik mee udang ke mak kita, letak atas meja sambil kata Selamat Hari Ibu? Menyerupai kaum kristian jugak ke buat macam tu? Hanya kerana tarikh? Haih.

Kalau nak ikut menyerupai, Hari Konvo juga patut haram. Dengan pakaian seruba bidara dan paderi. Kenapa yang alim pakai kopiah 8 semester dahi bertompok hitam tanda kuat beribadah ambil ijazah nak pakai jubah serupa paderi tak apa pula?

Apabila kita kisah sangat hal orang lain, beginilah jadinya. Kisah, tak salah. Yang salah, terlampau kisah dan masukkan hidup orang lain tu dalam hidup kita. Tuhan tahu niat asal kita. Aku rasa itu sudah memadai.

Ah! Panjang pulak aku membebel. Kahkahkah!

10 February 2012

Hakikat: Piramid Sahabat-Rakan-Kawan.

Hakikat yang perlu kita tahu, piramid sahabat-rakan-kawan. Ramai mengganggap kawan ialah kenalan. Jumpa sekali, sembang dengan segelas cawan, dan taraaa, dia ialah kawan. Rakan pula diklasifikasi sebagai seorang kawan yang menjadi rapat. Banyak hal dilakukan bersama. Sahabat. Sahabat pula seorang rakan yang sentiasa ada bersama yakni saat kau jatuh dan juga saat kau sama-sama mengangkat kemenangan.

Apa itu piramid sahabat-rakan-kawan? Aku ulas berdasarkan pemerhatian, berdasarkan pengalaman. Aku ulas dan beri pandangan. Tiada maksud untuk betul dan tiada maksud untuk tidak benarkan membetulkan kesalahan.

Perasan atau tidak, semakin umur kau meningkat, bilangan kawan yang akan sentiasa ada menurun? Kau akan ada berpuluh dan beratus kenalan di alam sekolah, kolej dan universiti. Saat kau mencelah masuk di alam pekerjaan, dengan perlahan rakan-rakan akan mula fokus dengan keluarga masing-masing. Yang tinggal kawan pejabat baru dan mungkin picisan kawan lama yang masih ada. Kawan yang aku maksudkan ialah kawan yang boleh kau ajak bersembang sama saat kau perlukan secawan air dan duduk buka cerita dua tiga jam tanpa rasa nak balik. Dan tiba tahap umur kau sudah punya anak yang masuk sekolah, kawan-kawan bilangannya makin menipis. Masing-masing sibuk. Dapat jumpa sebulan sekali pun dah cukup bagus.

Dan saat kau sudah punya cucu, realitinya, hanya keluarga menjadi peneman. Bilangan kawan akan terus turun. Kawan baik, rapat, mula akan meninggalkan alam dunia. Dan sedikit demi sedikit kau akan kehilangan kawan. Dan bila anak pula pindah bersama keluarga mereka, peneman kau mula berkurangan. Siapa nak teman kau saat kau perlukan secawan air panas dan duduk di atas kerusi berjam-jam sembang tanpa jemu?

Jawapannya mudah, pasangan hidup kau. Piramid sahabat-rakan-kawan akan ada satu penghujung yang tajam. Setiap benda yang tajam akan ada satu bucu. Satu bucu untuk satu orang. Dan dia lah sepatutnya di situ. 

Moga kamu semua punya seorang pasangan yang tak mudah jemu. Selongkar dunia bersama. Belajar erti hidup bersama. Susah bersama. Kerana dia, dia lah yang akan menjadi sahabat-rakan-kawan kau yang paling setia. Semoga dia akan menjadi telinga pendengar setia kepada semua masalah-masalah kau. InsyaAllah. Dan semua saat kau dan dia lalui bersama, simpan dalam memori ketat-ketat. Sebab satu hari nanti, itulah topik yang boleh kau dan dia duduk dengan secawan kopi, sembang, gelak bersama, mengusik kenangan lama bersama.


Jadi aku rasa, mengikut logik akal, teori piramid sahabat-rakan-kawan boleh diguna pakai. Kan?

13 January 2012

Rasa.

Aku buka post baru. Aku tenung lama komputer riba nazak ni. Cuba susun ayat yang sesuai untuk aku garabkan yang boleh menggambarkan apa yang aku rasa. Alunan melodi kipas ke kiri, pusing ke kanan, selang seli dengan bunyian cengkerik belakang rumah aku menyerikan pagi aku jam 3:09 ini. 

Aku sebenarnya tak gemar mana rasa ni. Aku cuba nak kupas, sebenarnya kenapa rasa ni masih wujud. Apa yang aku takutkan, kupasan aku nanti boleh disalah tafsir oleh insan lain. Pernah dengar mesej yang tak sampai? Bila manusia A menulis benda di sekeping kertas dengan nada A, dan manusia B membaca tulisan tu dengan nada B, akhirnya mesej tak sampai? Mungkin aku tulis dengan nada luahan rasa, tetapi apa yang orang baca, seperti aku menulis dengan nada minta penampar?

Ya aku mengaku. Dalam-dalam aku masih angkat Tuhan paling atas dalam segala hal, aku juga melakukan dosa secara tak sengaja. Banyak. Kau, kau, kau dan kau, aku rasa pun ada. Maksum. Kita bukan maksum. Mungkin kita tak perasan. Atau perasan, tapi mata yang ada, sengaja dibutakan. Mata yang aku kata, bukan dua biji mata  yang laju pandang dengan benda yang indah. Bukan. Apa yang aku cuba sampaikan ialah, kau sengaja butakan mata hati.

08 January 2012

Cerpen: Gembira.

"Kau tak rindu dia?" Alisha main-main telefon bimbit Rafiq. Satu persatu gambar Rafiq dan Dila diselaknya. Ada gambar yang buat Alisha ketawa seorang diri. Rafiq pandang Alisha dengan sekilas pandang. Dia fokus memandu Proton Saga FL di tengah jalan raya menuju rumah Alisha selepas sama-sama menghadiri kenduri kahwin kawan mereka, Tarmizi.

"Kau tak rindu dia?" Rafiq mengajukan soalan sama kepada Alisha.

"Apa tiru soalan Sha!" Alisha cuba mempertahankan soalan yang diberikannya dahulu

"Eh, bukan Rafiq tanya dulu ke? Ada eh Sha tanya?" Rafiq cuba bergurau manja dengan Alisha. Alisha masam muka. Peluk tubuh. Mukanya paling ke luar tingkap. "Orang tanya tak mau jawab, tanya orang pulak. Huh." Alisha membebel seorang diri. Matanya memandang ke luar tapi mata hati langsung tak rasa nak pandang pemandangan apa yang ada.

"Apadie? Sha cakap apa?" Rafiq tak berapa dengar bebelan monolog dalaman yang diluahkan Alisha.

"Takde ape! Rafiq saje je nak bagi Sha ingat dekat Faris kan?" Rafiq ketawa kecil selepas mendengar Alisha mengamuk di dalam kereta. Dia rampas telefon bimbit yang ada pada genggaman Alisha. Dia selak-selak folder yang tertera namanya dan Dila. Dia tekan 'menu', 'delete'. "Dah, nah ambil balik." Rafiq campak semula telefon bimbit dia kepada Alisha.

"Kenapa delete? Hoi! Tak sayang ke kenangan dengan Dila?" Alisha cuba mempertikaikan kelakuan Rafiq. Dia daripada marah, menjadi pelik.

"Kenangan sentiasa ada dalam otak Sha. Kami dah takde jodoh. Biarkan ja lah gambar tu semua. Nanti kalau Rafiq dah kahwin, kena delete jugak. Hormat isteri." Rafiq menjelaskan apa yang dia lakukan. Matanya fokus memandu. Mulutnya senyum, bukan senyuman yang jahat, atau senyuman gembira. Lebih kepada senyuman lega.

"Habis nanti kalau Dila ialah jodoh Rafiq? Kenangan gambar ni semua? Rugi kot! Delete lah nanti kalau dah kahwin." Alisha terus membebel.

"Kalau Rafiq jodoh dia, kami ambil gambar baru. Kami bina kenangan baru. Kenapa tak boleh?" Sekali lagi Rafiq punya satu point yang kukuh. Alisha senyap. Matanya pandang ke depan. Termenung. Dia tarik nafas dalam, dan hembus. Nafas menyesal mungkin?

"Sha ada stalk Faris? Last bila?" Rafiq cuba alihkan perhatian dengan bertanya kepada Alisha mengenai soalan yang agak pedas bagi Alisha. "Ada, minggu lepas." Alisha malas nak ingat. Tapi dia terpaksa luahkan juga.

"Apa cerita dia?"

"Dia macam makin happy. And macam dah ada orang baru." Alisha satu persatu menerangkan apa yang dia nampak. Satu persatu juga dia sedih.

"Biarkan mereka happy. Biarkan Dila, Faris happy. Diorang juga perlu enjoy life diorang. Kita ni. Sampai bila nak bersedih dengan diorang?" Alisha pandang tepat kehadapan. Matanya tak berkelip.

"Sekarang masa kita cari happy kita pulak." Alisha mengalih pandangan kepada Rafiq. Dia senyum nipis. Mungkin ada sesuatu yang difikirkannya.