.

.

10 February 2012

Hakikat: Piramid Sahabat-Rakan-Kawan.

Hakikat yang perlu kita tahu, piramid sahabat-rakan-kawan. Ramai mengganggap kawan ialah kenalan. Jumpa sekali, sembang dengan segelas cawan, dan taraaa, dia ialah kawan. Rakan pula diklasifikasi sebagai seorang kawan yang menjadi rapat. Banyak hal dilakukan bersama. Sahabat. Sahabat pula seorang rakan yang sentiasa ada bersama yakni saat kau jatuh dan juga saat kau sama-sama mengangkat kemenangan.

Apa itu piramid sahabat-rakan-kawan? Aku ulas berdasarkan pemerhatian, berdasarkan pengalaman. Aku ulas dan beri pandangan. Tiada maksud untuk betul dan tiada maksud untuk tidak benarkan membetulkan kesalahan.

Perasan atau tidak, semakin umur kau meningkat, bilangan kawan yang akan sentiasa ada menurun? Kau akan ada berpuluh dan beratus kenalan di alam sekolah, kolej dan universiti. Saat kau mencelah masuk di alam pekerjaan, dengan perlahan rakan-rakan akan mula fokus dengan keluarga masing-masing. Yang tinggal kawan pejabat baru dan mungkin picisan kawan lama yang masih ada. Kawan yang aku maksudkan ialah kawan yang boleh kau ajak bersembang sama saat kau perlukan secawan air dan duduk buka cerita dua tiga jam tanpa rasa nak balik. Dan tiba tahap umur kau sudah punya anak yang masuk sekolah, kawan-kawan bilangannya makin menipis. Masing-masing sibuk. Dapat jumpa sebulan sekali pun dah cukup bagus.

Dan saat kau sudah punya cucu, realitinya, hanya keluarga menjadi peneman. Bilangan kawan akan terus turun. Kawan baik, rapat, mula akan meninggalkan alam dunia. Dan sedikit demi sedikit kau akan kehilangan kawan. Dan bila anak pula pindah bersama keluarga mereka, peneman kau mula berkurangan. Siapa nak teman kau saat kau perlukan secawan air panas dan duduk di atas kerusi berjam-jam sembang tanpa jemu?

Jawapannya mudah, pasangan hidup kau. Piramid sahabat-rakan-kawan akan ada satu penghujung yang tajam. Setiap benda yang tajam akan ada satu bucu. Satu bucu untuk satu orang. Dan dia lah sepatutnya di situ. 

Moga kamu semua punya seorang pasangan yang tak mudah jemu. Selongkar dunia bersama. Belajar erti hidup bersama. Susah bersama. Kerana dia, dia lah yang akan menjadi sahabat-rakan-kawan kau yang paling setia. Semoga dia akan menjadi telinga pendengar setia kepada semua masalah-masalah kau. InsyaAllah. Dan semua saat kau dan dia lalui bersama, simpan dalam memori ketat-ketat. Sebab satu hari nanti, itulah topik yang boleh kau dan dia duduk dengan secawan kopi, sembang, gelak bersama, mengusik kenangan lama bersama.


Jadi aku rasa, mengikut logik akal, teori piramid sahabat-rakan-kawan boleh diguna pakai. Kan?