.

.

31 December 2012

Kembali Mengayuh Roda.

Kalau kau orang perasan, aku sudah buang beratus entri lama aku dan tinggal beberapa sahaja entri di dalam blog ini. Ya, selalunya orang akan melakukan seperti ini selepas mereka putus cinta. Kononnya untuk melupakan kisah lama. Itu selalunya. Tapi orang macam aku, maksud aku, spesis yang suka menulis hal-hal apa yang berlaku, kami lebih suka menyimpan. Sekurang-kurangnya aku boleh baca di masa hadapan. Tentang kebodohan dan hal-hal yang berkenaan.

Tidak hari ini.

Aku mengambil keputusan untuk buang segala kisah-kisah lampau aku yang ada dalam blog ini. Sudah aku semat semua dalam otak untuk aku hadam untuk masa hadapan. Pada awalnya, aku nak biarkan cerpen-cerpen yang aku tulis dan buang semua kisah anak muda aku. Kisah sedih yang kalau dibaca, boleh dipijak-pijak perut kerana terlampau menagih simpati. Namun, agak susah aku nak pilih mana yang aku mahu simpan, dan yang mana aku mahu buang. Jadi aku buangkan semuanya. Termasuklah beberapa entri yang punya hit yang tinggi yang membawa kamu semua ke sini.

Maaf.

Jadi kau orang boleh mula bertanya. Mengapa? Kenapa? Jawapan aku mudah. Mungkin semua entri tersebut punya nilai yang tinggi. Tapi tak sama nilai dengan apa yang akan diberikan kepada bakal isteri aku kelak. Bagaimana dia mampu baca semua kisah cinta dan betapa aku menjadi terlalu bodoh kerana setia pada cinta yang tak pasti? Teorinya mudah. Dia akan sakit. Walaupun dia senyum membaca semuanya, dia tetap akan sakit kalau dia betul-betul memberikan perasaan kepada aku.

Tak. Tak adil untuknya.

Jadi, tak perlu lagi aku simpan semua kisah yang menyedihkan itu. Cukup. Cukup sampai sini sahaja. Sudah sampai masa aku menulis kisah baru. Menulis kisah akan datang bersamanya. Menulis kisah yang indah-indah yang mampu buat ramai orang cemburu akan kisah kami. Dan menjadikan kisah-kisah kami pedoman. InsyaAllah. Betapa dunia ini terlampau pendek untuk menjadi seorang yang menyedihkan.

Aku mula putarkan roda semula.

23 December 2012

Janji Pasti.

Betul orang kata. Janji Tuhan itu pasti. Dia datang macam tu sahaja. Dia dah susun semua. Jalan aku dah nampak. Meroyan tak perlu lagi. Aku sehingga tak perlu cari. Dia datang dengan sendiri. Tak perlu nak mengejar. Dia datang sendiri.

Semua orang ada. Itu janji Tuhan. Cumanya, masa sahaja membezakan kita.


02 December 2012

Seleksi 3M - Mual, Muntah dan Mengidam.

Pertama kali aku uruskan orang nak masuk wad. Ya, aku uruskan semua. Ceritanya panjang. Kalau nak diukur dengan batang rokok, aku rasa satu kotak belum cukup untuk aku ceritakan semuanya. Jadi aku pendekkan semua kisah itu sehingga saat kami duduk di kerusi menunggu di hadapan kaunter pendaftaran.

Ah, aku rasa tak perlu juga nak ceritakan kisah tu. Pedulikan. Aku tulis poin-poin penting. Dia, NR (bukan nama sebenar, perempuan, sudah berpunya, 20an), sudah hampir seminggu mual-mual. Tengah hari tadi dia menghubungi rakan dia paling awesome (aku), untuk ajak makan bersama. Sudah lah mual-mual, muntah-muntah, dia punya rasa mengidam pula.

Nasi Goreng Ayam Buttermilk.

Sudah aku bawa dia ke satu tempat, dia pesan makanan yang dia idam. Kerana aku pun tak pernah makan makanan idaman dia tu, aku juga pesan benda sama.Waktu bergerak pantas. Saat aku bangun hendak pergi bayar di kaunter, air aku tinggal separuh dan aku gagal untuk menghabiskannya, airnya kering dan berbaki ais-ais, nasi goreng ayam buttermilk aku licin dijilat sudu dan nasi goreng ayam buttermilknya masih berbaki 60%. Dia gagal habiskan kerana kembali rasa mual-mual.

Kalau ikut teori sains matematik, siapa makan lagi banyak ya?

Aku dah mula syak bukan-bukan. Aku harap syak wasangka aku tidak tepat. Mual-mual dan ada wishlist makanan. Ahhh, tak mungkin! Lalu aku bawa dia ke satu hospital swasta setelah dia dengan bangganya menunjuk kad medikalnya. Dia di tempat duduk sebelah di dalam kereta 'Bumblebee' aku, dia bermuka selemah-lemahnya sambil terus berwhatsapp dengan teman lelakinya.

Aku? Ditemani lagu Umpama Mimpi Dalam Mimpi dari Damasutra dan bunyi-bunyi hujan.

Aku sebenarnya bukan nak cerita apa. Hospital. Aku suka hospital. Selain dari cik-cik misi yang cantik-cantik, aku juga suka hospital kerana suasananya. Tenang. Bunyian kanak-kanak menangis. Bunyian kanak-kanak ketawa. Melihat atuk-atuk bertongkat. Ahh, ini semua mengingatkan aku betapa hidup ini sangat pendek. Terus aku teringat video semasa majlis konvokasi aku tempoh hari. Puisi dari seorang bapa kepada anaknya. Aku suka satu baris ini,

"Satu hari nanti, aku akan lupa. Jadi kau ingat-ingatkan lah."

Kerana NR sedang dirawat di bilik kecemasan, akulah menjadi orang sibuk ke sana ke mari menguruskan hal insuransnya. Selagi tidak lulus, macam mana dia nak masuk wad yang harganya, ah, kau orang sendiri boleh nilai harga wad hospital swasta. Aku yang tandatangan surat hospital. Aku yang uruskan bilik wad. Aku yang dahulukan wang deposit. Sehingga kesibukan aku ini membuatkan staf hospital itu tanya,

"Encik ini suami dia ke?" Ini bukan pertama kalinya aku disoal hal begitu. Mungkin muka aku ini muka lelaki yang boleh dipercayai menjadi suami? (sila ambil borang di kaunter H)

Aku uruskan NR sehingga saat teman lelakinya tiba. Kerana ingin beri masa mereka berdua, aku terus buat-buat lapar dan berlalu keluar dari wad NR. Turun ke bawah menuju keluar dari hospital dan menuju ke medan selera berdekatan. Aku pesan segelas air epal dan semangkuk kentang goreng. Jumlahnya RM4. Aku beri mereka masa sebelum aku kembali ke hospital kerana NR mengirim dua kotak air milo.

Moral cerita ini? Entah. Tiada moral sebenarnya. Hanya seperti diari harian yang ditulis dan dikunci sebelum diletak di bawah bantal. Cumanya, kata-kata NR yang paling aku ingat ialah,

"Aku yakin kau boleh handle isteri kau dengan baik nanti pit."

Aku kembang segala lubang untuk 5 saat.