.

.

26 August 2012

Kisah Merapu 58: Lalai.

Orang kata, bukan aku kata, sampai masa kita akan sedar sesuatu. Sedar yang dunia ini sebenarnya berputar. Sedar yang hidup kita tak selalunya siang. Sedar yang ada tersusun ribuan kebaikan di atas puluhan keburukan. Sampai masa kita akan sedar yang kita sebenarnya sudah lari dari landasan. Sudah lari dari matlamat yang digariskan. Digariskan oleh diri sendiri, mengikat janji dengan diri sendiri untuk berjaya, tapi diri sendiri juga yang lalai dengan apa yang digenggam.

Tidak mengapa kadang kala lari sebentar dari jalan. Menjadi bodoh untuk masuk ke dalam semak samun untuk mencari adventure. Asalkan, asalkan kita pulang semula ke jalan dan terus bergerak menuju matlamat. 

Kita adalah seumpama pengembara di dalam hutan. Destinasi kita ialah sebuah kota indah. Tujuan ke sana untuk memikat hati puteri raja. Sedang asyik menuju ke kota, terdengar pula bunyi dari semak. Lalu kita lalai dan mencari, dari manakah bunyi itu datang. Nasib baik, kita jumpa seekor rusa. Boleh disembelih dagingnya dan makan. Kalau nasib tidak baik, bunyinya datang dari harimau. Terpaksa bertempur, berlari ke sana, ke sini sebelum mampu bebas. Orang bijak akan mengambil itu sebagai iktibar agar tidak mudah tergoda dengan bunyi dari semak. Ah! Sekurang-kurangnya dia belajar ilmu berlawan dengan harimau. Ha! Sudah dua ilmu dia peroleh hasil dari dia lalai.

Namun kalau dia terus lalai, terus menguji kononnya dia gagah mampu tumpaskan harimau, dan terus mencari harimau lain untuk dia tumpaskan, matlamat lari, tujuan tidak kesampaian, kota pun boleh hilang dari pemandangan. Apa yang kau dapat? Nasib tak selalu untung. Esok lusa akan dibaham juga. Selalu beringat-ingatlah.

Aku pun tak tahu apa aku tulis. Aku tak tahu apa aku fikir. Sudah lama aku manjakan diri sendiri, sudah lama aku manjakan orang lain. Apa pun tak dapat. Heh.

01 August 2012

YOLO.

Kita selalu salahkan takdir. Selalu salahkan Tuhan. Meninggalkan suruhannya kerana menunjuk tanda protes atas segala doa yang tak dimakbulkan. Kononnya Tuhan akan menyesal dan memakbulkan doa hamba-hamba yang protes ini padahal yang ruginya kita. Peduli apa, kau tinggal, kau dapat bencana kelak.

Kita seringkali tak tahu apa yang kita nak. Meninggalkan sesuatu yang pasti kerana mengharapkan sesuatu yang tak pasti. Ini semua lumrah. Bila esok-esok dah tahu jawapan, baru menyesal dengan perbuatan. Hey! Pernah nampak orang tulis YOLO? Bukan untuk kita jeritkan perkataan YOLO tu. You Only Live Once. Itu maksudnya.

"Some people think they're always right
Others are quiet and uptight
Others they seem so very nice, 
Inside they might feel sad and wrong."

You Only Live Once, The Strokes.

Buatlah sesuatu dengan bijak dengan hidup ni. Setiap perbuatan, setiap percakapan, mungkin ada yang terlanjur dan boleh diperbetulkan. Tapi bila dah main dengan retaknya jiwa orang lain, usah bercakap panjang, kau tahu, salah dengan Tuhan boleh bertaubat, salah dengan manusia, Tuhan pun tak boleh tolong, sayang.

Teringat aku dengan beberapa potong ayat dalam novel dari Tere-Liye, 'Rembulan Tenggelam di Wajahmu'. Sebuah novel tentang kehidupan seorang anak jalanan yang mencari erti hidup. Kesimpulan flashback hidupnya semasa umurnya 60 tahun, terlantar sakit, di bawa oleh seorang lelaki yang wajahnya amat senang sekali. Aku tertarik dengan beberapa potong ayat lelaki berwajah senang itu. Antaranya,

*****

"Masalahnya kau tidak seharusnya jahat Ray. Kau tidak seharusnya menjalani masa-masa gelap dengan alasan hidup ini tidak adil. Kau tidak seharusnya menyalahkan orang yang membuatkan kehidupanmu buruk, lantas mencari alasan-alasan."

"Kalau hidup ini adil, mengapa mereka dibiarkan Tuhan? Kau tahu apa samseng itu lakukan pada Ilham dan lukisannya? Natan? Tidak dapat lagi bermain muzik?"

"Kau tak boleh menyalahkan orang lain dalam urusan ini, apalagi menyalahkan Tuhan, Ray. Bahkan orang terpilih juga terkadang lalai mengenali bentuk keadilan itu kerana kita selalu berusaha mengenalinya dari sisi yang nampak di mata. 

"Di mata kasar kau tahu Ilham gagal mengikuti pameran besar itu. Kau salahkan samseng-samseng itu. Salahkan langit kerana membiarkan orang jahat itu. Kata siapa Ilham gagal? Tanpa merosakkan lukisan itu sekalipun, Ilham masih tidak layak mengikuti pameran itu. Kenapa? Kerana kalian terlampau melebih-lebih kebolehannya. Lukisan itu biasa-biasa sahaja. Kalau diserah kepada kurator pasti mereka tidak akan mempercayai bakat Ilham yang digembar-gemburkan oleh Bang Ape lagi. Selama sepuluh tahun selepas itu, dia belajar cara membuat lukisan lebih baik. Belajar merendah hati. Memutus untuk tidak menulis nama pada setiap lukisannya. Hasilnya, dia menjadi pelukis yang baik Ray! Adakah hidup ini tidak adil bagi Ilham?"

"Natan membenci ayahnya kerana tega meninggalkan mereka sekeluarga. Dia nekad untuk menjadi orang yang boleh mencairkan hati manusia yang keras. Kau tahu bagaimana? Menjadi penyanyi adalah salah satunya. Dia mendapat kesempatan lain Ray. Dia menjadi penggubah lagu terkenal! Ratusan lagunya mengajak manusia berbuat baik. Dengan lumpuh, kehilangan suara, itu justeru dia mendapat kekuatan luar biasa untuk menulis lagu. Adakah hidup ini tidak adil bagi Natan?"

"Kehidupan ini selalu adil. Keadilan langit mengambil berbagai-bagai bentuk. Meski tidak semua bentuk itu kita kenali tetapi adakah dengan tidak mengenalinya kita boleh berani-beraninya menuduh Tuhan itu tidak adil? Hidup tidak adil? Ah, urusan ini terlanjur sulit bagimu, kerana kau selalu keras kepala."

*****

Esok-esok minta maaf. Esok-esok dia mati. Esok-esok settle di mahsyar nanti. Buatlah sesuatu dengan menggunakan akal. Kurangkan guna emosi bila berkata, bila menulis. Kerana hidup ni sekali sahaja. Sama-sama lah kita beringat. Aku pun masih mengingat diri aku juga.

Salam Ramadhan, salam August Rush.