Search This Blog

18 January 2016

Takoyaki.

Sabtu lepas aku ambil off sehari dari segala aktiviti kapal untuk membawa Wani ke Ipoh untuk mencari baju untuk dipakai semasa majlis doa selamat minggu depan. Dengan perut memboyot sekarang ni, semua baju dah tak muat. Apatah lagi baju kebaya. Kalau dia gagah juga pakai kebaya dan terkoyak, memang aku buat lap gitar je baju tu.

"Tu lah, dulu saya dah cakap, beli baju besar-besar. Time pregnant boleh pakai, time biasa boleh pakai."

Setiap kali aku membebel macam tu, Wani balas dengan pandangan mata yang tajam. Lalu aku terus ber-huhuhu.

Setelah selesai pembelian baju di Gondola31 di Meru, Ipoh, aku terus ke Aeon Klebang. Aeon baru. Saja nak menjelajah tempat baru. Lagipun aku dah lama tak bawa Wani berjalan. Aku hanya membeli sebotol Tinge sahaja di Aeon Klebang. Selebihnya aku beri masa untuk Wani berjalan. Baik untuk dia yang dah cecah 8 bulan di dalam perut.

Sebelum pulang, aku sajikan dia dengan Takoyaki. Kami berdua memang penggemar Takoyaki. Dan segala benda makanan yang berbunyi agak Jepun, Korea mahupun Chinese. Seperti Char Ho Fun, Sushi dan juga Char Koey Teow.

Kesedapan Takoyaki itu membuatkan kami agak stim. Harga RM5.80 untuk 3 biji memang berbaloi.

"Ingat nak buka francais lah Takoyaki ni." Aku bersuara

"Tak kaya lah kita."

"Kenapa?"

"Kita je makan, orang nak beli dah habis."

Aku balas dengan dengusan sahaja menandakan tidak setuju dengan ayat penyata itu.

"Yang, kalau saya buka francais Takoyaki, saya jadi bos, awak jadi apa?"

"Saya jadi Takoyakinya."

"Kalau tengok keadaan awak sekarang ni, memang sesuai awak jadi Takoyaki." Balasku.

Entah macam mana aku boleh terbergurau dengan keadaan fizikal boyot bayi Wani. Tak semena-mena, dari traffic light itu sehingga separuh perjalanan pulang ke Lumut, kami tak henti-henti memboyot dan menakoyaki kan diri masing-masing.

Dan aku dapat memandu dengan gembira tanpa ada perasaaan mengantuk.

Oh, Allah, please don't let this disappear.

No comments: