Kalau kau orang perasan, aku sudah buang beratus entri lama aku dan tinggal beberapa sahaja entri di dalam blog ini. Ya, selalunya orang akan melakukan seperti ini selepas mereka putus cinta. Kononnya untuk melupakan kisah lama. Itu selalunya. Tapi orang macam aku, maksud aku, spesis yang suka menulis hal-hal apa yang berlaku, kami lebih suka menyimpan. Sekurang-kurangnya aku boleh baca di masa hadapan. Tentang kebodohan dan hal-hal yang berkenaan.
Tidak hari ini.
Aku mengambil keputusan untuk buang segala kisah-kisah lampau aku yang ada dalam blog ini. Sudah aku semat semua dalam otak untuk aku hadam untuk masa hadapan. Pada awalnya, aku nak biarkan cerpen-cerpen yang aku tulis dan buang semua kisah anak muda aku. Kisah sedih yang kalau dibaca, boleh dipijak-pijak perut kerana terlampau menagih simpati. Namun, agak susah aku nak pilih mana yang aku mahu simpan, dan yang mana aku mahu buang. Jadi aku buangkan semuanya. Termasuklah beberapa entri yang punya hit yang tinggi yang membawa kamu semua ke sini.
Maaf.
Jadi kau orang boleh mula bertanya. Mengapa? Kenapa? Jawapan aku mudah. Mungkin semua entri tersebut punya nilai yang tinggi. Tapi tak sama nilai dengan apa yang akan diberikan kepada bakal isteri aku kelak. Bagaimana dia mampu baca semua kisah cinta dan betapa aku menjadi terlalu bodoh kerana setia pada cinta yang tak pasti? Teorinya mudah. Dia akan sakit. Walaupun dia senyum membaca semuanya, dia tetap akan sakit kalau dia betul-betul memberikan perasaan kepada aku.
Tak. Tak adil untuknya.
Tak. Tak adil untuknya.
Jadi, tak perlu lagi aku simpan semua kisah yang menyedihkan itu. Cukup. Cukup sampai sini sahaja. Sudah sampai masa aku menulis kisah baru. Menulis kisah akan datang bersamanya. Menulis kisah yang indah-indah yang mampu buat ramai orang cemburu akan kisah kami. Dan menjadikan kisah-kisah kami pedoman. InsyaAllah. Betapa dunia ini terlampau pendek untuk menjadi seorang yang menyedihkan.
Aku mula putarkan roda semula.