Kebelakangan ni aku sangat jarang nak rasa menyesal dengan apa yang aku dah buat. Contohnya, aku tak menyesal memilih untuk menjual kasut berbanding baju, tak menyesal membawa payung walau tak hujan dan tak menyesal memasang lagu Relay berbanding The Times.
Tapi Ahad lepas aku ada sikit rasa menyesal.
Cerita dia macam ni. Sebagai seorang yang dah nak jadi suami dalam masa 9 hari ni, aku seperti orang lain, terus mencari kawan-kawan untuk beri kad. Pergi ke Pesta Buku Antarabangsa dengan berbekalkan beg penuh kad, jumpa je kawan, hulur kad. Kemudian malamnya aku pergi layan Khottal dengan album SISU Tour di Jalan Panggong. Jumpalah budak-budak muzik kat sana. The Fridays, The Voks. Hulur kad.
Hari Ahad tu pulak, aku ajaklah budak-budak Seri Kembangan untuk melepak. Reason melepak nak bagi kad jugalah. Dah serupa posmen aku satu Selangor pusing bagi kad. Budak-budak dekat Seri Kembangan ni punyalah talented. Tu nanti aku cerita.
Jadi aku sampai awal dari diorang. Aku pun order lah segelas air sirap beserta nasi goreng sebab lapar teruk tak makan apa seharian. Mak abah balik Kedah menjemput orang belah sana. Kemudian datang seorang tua. Dari riak wajah, dia bukan orang tempatan. Mungkin Pakistan ataupun Bangladesh. Dia datang kepada aku dengan membuat isyarat tangan yang menandakan dia lapar. Dia minta sedikit wang.
Aku yang sedang sibuk menelaah telefon pintar dan sepinggan nasi goreng, hanya membalas dengan sebuah senyuman dan menggelengkan kepala kepada orang tua tadi. Orang tua tadi pun berlalu dari tempat aku. Belum sempat aku menyuap sesuap lagi nasi, aku terus terfikir. Wadehek yang aku buat? Aku boleh ajak dia makan, belanja dia. Berapa ringgit lah sangat. Sebab itu yang diutamakan Islam! Sedekah 1 dapat 10!
Aku langut ke atas dan cari semula dia. Rezeki orang tua tadi. Ada brader selang 4 meja dari aku panggil dia dan minta dia ambil sahaja apa makanan dan dia bayar. Aku terus menyesal dan rasa rugi gila. Rugi dia macam kau dah terlepas peluang keemasan untuk menggandakan duit RM10 kau jadi RM100. Aku menyesal lebih bila aku fikir yang orang tua tu adalah jelmaan Malaikat yang nak uji aku. Astaghfirullah!
Tapi dengan zaman yang serba moden ni, yang banyak scam, kau jadi takut untuk menderma kepada penipu kan? Tapi bagi aku, kalau setakat nak belanja makan bagi perut kenyang, biarlah penipu pun. Perut mana reti menipu ye dak?