Search This Blog

26 August 2012

Kisah Merapu 58: Lalai.

Orang kata, bukan aku kata, sampai masa kita akan sedar sesuatu. Sedar yang dunia ini sebenarnya berputar. Sedar yang hidup kita tak selalunya siang. Sedar yang ada tersusun ribuan kebaikan di atas puluhan keburukan. Sampai masa kita akan sedar yang kita sebenarnya sudah lari dari landasan. Sudah lari dari matlamat yang digariskan. Digariskan oleh diri sendiri, mengikat janji dengan diri sendiri untuk berjaya, tapi diri sendiri juga yang lalai dengan apa yang digenggam.

Tidak mengapa kadang kala lari sebentar dari jalan. Menjadi bodoh untuk masuk ke dalam semak samun untuk mencari adventure. Asalkan, asalkan kita pulang semula ke jalan dan terus bergerak menuju matlamat. 

Kita adalah seumpama pengembara di dalam hutan. Destinasi kita ialah sebuah kota indah. Tujuan ke sana untuk memikat hati puteri raja. Sedang asyik menuju ke kota, terdengar pula bunyi dari semak. Lalu kita lalai dan mencari, dari manakah bunyi itu datang. Nasib baik, kita jumpa seekor rusa. Boleh disembelih dagingnya dan makan. Kalau nasib tidak baik, bunyinya datang dari harimau. Terpaksa bertempur, berlari ke sana, ke sini sebelum mampu bebas. Orang bijak akan mengambil itu sebagai iktibar agar tidak mudah tergoda dengan bunyi dari semak. Ah! Sekurang-kurangnya dia belajar ilmu berlawan dengan harimau. Ha! Sudah dua ilmu dia peroleh hasil dari dia lalai.

Namun kalau dia terus lalai, terus menguji kononnya dia gagah mampu tumpaskan harimau, dan terus mencari harimau lain untuk dia tumpaskan, matlamat lari, tujuan tidak kesampaian, kota pun boleh hilang dari pemandangan. Apa yang kau dapat? Nasib tak selalu untung. Esok lusa akan dibaham juga. Selalu beringat-ingatlah.

Aku pun tak tahu apa aku tulis. Aku tak tahu apa aku fikir. Sudah lama aku manjakan diri sendiri, sudah lama aku manjakan orang lain. Apa pun tak dapat. Heh.

01 August 2012

YOLO.

Kita selalu salahkan takdir. Selalu salahkan Tuhan. Meninggalkan suruhannya kerana menunjuk tanda protes atas segala doa yang tak dimakbulkan. Kononnya Tuhan akan menyesal dan memakbulkan doa hamba-hamba yang protes ini padahal yang ruginya kita. Peduli apa, kau tinggal, kau dapat bencana kelak.

Kita seringkali tak tahu apa yang kita nak. Meninggalkan sesuatu yang pasti kerana mengharapkan sesuatu yang tak pasti. Ini semua lumrah. Bila esok-esok dah tahu jawapan, baru menyesal dengan perbuatan. Hey! Pernah nampak orang tulis YOLO? Bukan untuk kita jeritkan perkataan YOLO tu. You Only Live Once. Itu maksudnya.

"Some people think they're always right
Others are quiet and uptight
Others they seem so very nice, 
Inside they might feel sad and wrong."

You Only Live Once, The Strokes.

Buatlah sesuatu dengan bijak dengan hidup ni. Setiap perbuatan, setiap percakapan, mungkin ada yang terlanjur dan boleh diperbetulkan. Tapi bila dah main dengan retaknya jiwa orang lain, usah bercakap panjang, kau tahu, salah dengan Tuhan boleh bertaubat, salah dengan manusia, Tuhan pun tak boleh tolong, sayang.

Teringat aku dengan beberapa potong ayat dalam novel dari Tere-Liye, 'Rembulan Tenggelam di Wajahmu'. Sebuah novel tentang kehidupan seorang anak jalanan yang mencari erti hidup. Kesimpulan flashback hidupnya semasa umurnya 60 tahun, terlantar sakit, di bawa oleh seorang lelaki yang wajahnya amat senang sekali. Aku tertarik dengan beberapa potong ayat lelaki berwajah senang itu. Antaranya,

*****

"Masalahnya kau tidak seharusnya jahat Ray. Kau tidak seharusnya menjalani masa-masa gelap dengan alasan hidup ini tidak adil. Kau tidak seharusnya menyalahkan orang yang membuatkan kehidupanmu buruk, lantas mencari alasan-alasan."

"Kalau hidup ini adil, mengapa mereka dibiarkan Tuhan? Kau tahu apa samseng itu lakukan pada Ilham dan lukisannya? Natan? Tidak dapat lagi bermain muzik?"

"Kau tak boleh menyalahkan orang lain dalam urusan ini, apalagi menyalahkan Tuhan, Ray. Bahkan orang terpilih juga terkadang lalai mengenali bentuk keadilan itu kerana kita selalu berusaha mengenalinya dari sisi yang nampak di mata. 

"Di mata kasar kau tahu Ilham gagal mengikuti pameran besar itu. Kau salahkan samseng-samseng itu. Salahkan langit kerana membiarkan orang jahat itu. Kata siapa Ilham gagal? Tanpa merosakkan lukisan itu sekalipun, Ilham masih tidak layak mengikuti pameran itu. Kenapa? Kerana kalian terlampau melebih-lebih kebolehannya. Lukisan itu biasa-biasa sahaja. Kalau diserah kepada kurator pasti mereka tidak akan mempercayai bakat Ilham yang digembar-gemburkan oleh Bang Ape lagi. Selama sepuluh tahun selepas itu, dia belajar cara membuat lukisan lebih baik. Belajar merendah hati. Memutus untuk tidak menulis nama pada setiap lukisannya. Hasilnya, dia menjadi pelukis yang baik Ray! Adakah hidup ini tidak adil bagi Ilham?"

"Natan membenci ayahnya kerana tega meninggalkan mereka sekeluarga. Dia nekad untuk menjadi orang yang boleh mencairkan hati manusia yang keras. Kau tahu bagaimana? Menjadi penyanyi adalah salah satunya. Dia mendapat kesempatan lain Ray. Dia menjadi penggubah lagu terkenal! Ratusan lagunya mengajak manusia berbuat baik. Dengan lumpuh, kehilangan suara, itu justeru dia mendapat kekuatan luar biasa untuk menulis lagu. Adakah hidup ini tidak adil bagi Natan?"

"Kehidupan ini selalu adil. Keadilan langit mengambil berbagai-bagai bentuk. Meski tidak semua bentuk itu kita kenali tetapi adakah dengan tidak mengenalinya kita boleh berani-beraninya menuduh Tuhan itu tidak adil? Hidup tidak adil? Ah, urusan ini terlanjur sulit bagimu, kerana kau selalu keras kepala."

*****

Esok-esok minta maaf. Esok-esok dia mati. Esok-esok settle di mahsyar nanti. Buatlah sesuatu dengan menggunakan akal. Kurangkan guna emosi bila berkata, bila menulis. Kerana hidup ni sekali sahaja. Sama-sama lah kita beringat. Aku pun masih mengingat diri aku juga.

Salam Ramadhan, salam August Rush.


14 April 2012

When We Care Too Much, HARI IBU Pun Jadi Haram.

Aku baru balik dari rumah markas Prima U1. Sebuah markas aku dan kawan-kawan perantauan aku yang berhijrah ke bandar Shah Alam untuk mencari rezeki. Di sana tadi aku hanya nak lepaskan tekanan. Melepak. Gelak. Tonton rancangan televisyen bersama dan akhiri dengan bermain permainan video Playstation Fifa. Almaklumlah. Zaman kecil dulu kami main Pepsi Cola sahaja. Dah tua baru teringin nak main permainan 3D macam ni. Aku guna pasukan VFL Wolfsburg dan Valencia CF. Satu menang, satu kalah. Dalam hati aku kata, "Alah bola tu bulat. Ada kalah, ada menang."

Oleh kerana esok (baca: harini) aku ada kelas, aku paksa Kehek hantar aku balik malam ini juga. Dia berkeras sebenarnya tak mahu balik. Ya aku tahu dia penat. Tapi apa kan daya. Terpaksa. Sebab aku tumpang dia.

Siapa yang ikut laman sosial twitter aku, pasti ada perasan aku ada cerita serba sedikit tentang Kehek ni. Nama panggilan panjang dia, Kehek Meru. Seorang legendary to be di Meru, Klang. Sebab hari bekerja dia asyik membawa motor, malam minggu sahaja waktu dia untuk memandu kereta. Aku bagi peluang dia memandu ambil aku dari rumah pada awalnya.

Sampai rumah jam 3:12 pagi. Lampu dapur dah menyala. Langkah sahaja aku ke dapur, aku nampak mak sedang asyik menyusun karipap-karipap yang hendak digoreng. Untuk dijual pagi-pagi nanti di depan rumah. Bukan mak yang jual, dia cuma tumpang gerai Mak Cik Jun Nasi Lemak sahaja. "Awal mak bangun?" Aku cuba menjadi mesra. Konon nak ubah topik kerana aku balik lewat ke rumah. Mak diam. Tak balas apa-apa. Dia fokus menyusun karipap-karipap yang belum digoreng tu.

Aku buka peti sejuk. Tuang segelas air dan aku teguk cepat-cepat. Habis minum, aku letak gelas di atas meja tanpa basuh. Aku tak fikir apa, terus naik bilik. Kebiasaan agaknya, masuk bilik aku terus tekan butang 'ON' pada komputer riba yang sudah berusia hampir 6 tahun bersama aku tu. Aku pergi membuang apa yang patut di tandas dan bersiap dengan pakaian tidur.

Sebelum tidur aku selak-selak laman sosial dan email. Aku tak mahu terlepas berita-berita penting. Kononnya. Hampir semua selesai aku belek, aku mengambil keputusan untuk tidur. Kelas dalam beberapa jam lagi. Aku perlukan tidur yang cukup. Belum sempat aku halakan tetikus ke bahagian pangkah di laman sosial Facebook, aku tertarik dengan satu artikel yang dikongsi oleh seorang rakan aku.

"BEWARE! Hari Ibu ialah HARAM! Sebarkan."

Si Ibu Dan Anak Fine Art Print - Azlan Dulikab
Aku tekan artikel tu. Aku tak baca. Aku belek sekali lalu. Bla bla bla Presiden bla bla bla haram bla bla bla Mother Church bla bla bla Jesus bla bla bla. Bagi aku, bila terlampau sangat ambil kisah, semua benda pun tak boleh. Tak salah rasanya kita sambut Hari Ibu tu. Kerana ia adalah hanya Hari Ibu. Kita raikan seorang manusia yang dah lahirkan kita dan yang dah banyak berkorban untuk kita. Lainlah kalau nak bercakap mengenai Hari Kekasih atau seangkatan dengannya.

Ya, setiap hari ialah hari ibu. Ayat tipikal rakyat marhaen. Tapi tak salah juga pilih satu tarikh untuk raikannya dengan lebih spesifik? Tak perlu nak haramkan sangat. Nak susahkan fikiran. Tak puas hati tarikh tu, kita raikan tarikh pada tarikh esoknya. Lusanya? Bulan depannya mungkin? Sebenarnya tak salah pun rai pada tarikh yang sama. Sebab bagi aku, kita bukan rai persis kristian atau menyerupai (aku tak baca pun artikel tu) kaum dia. Ia hanya Hari Ibu. Salah ke bawak balik mee udang ke mak kita, letak atas meja sambil kata Selamat Hari Ibu? Menyerupai kaum kristian jugak ke buat macam tu? Hanya kerana tarikh? Haih.

Kalau nak ikut menyerupai, Hari Konvo juga patut haram. Dengan pakaian seruba bidara dan paderi. Kenapa yang alim pakai kopiah 8 semester dahi bertompok hitam tanda kuat beribadah ambil ijazah nak pakai jubah serupa paderi tak apa pula?

Apabila kita kisah sangat hal orang lain, beginilah jadinya. Kisah, tak salah. Yang salah, terlampau kisah dan masukkan hidup orang lain tu dalam hidup kita. Tuhan tahu niat asal kita. Aku rasa itu sudah memadai.

Ah! Panjang pulak aku membebel. Kahkahkah!